Tuesday, March 22, 2011

Debat Tak Habis Habis

Satu pihak kata ye, satu pihak lagi kata tidak, satu lagi pihak diam saja - ye tidak, tidak pun tidak. Begitulah hal nuklear. Selalunya pihak yang kata tidak lebih lantang, yang setuju diam; yang atas pagar tengok saja. Debat nuklear memang tak habis-habis kerana ada dua pihak yang sama-sama komited, iltizam yang tinggi.

Satu pihak menjadikan penentangan itu sebagai perjuangan dan visi sepanjang hayat. Satu pihak lagi sebaliknya pula.

Sebenarnya kita tak perlu begitu fanatik. Kita sepatutnya memberi pertimbangan waras berasaskan fakta dan mengambilkira semua faktor. Malangnya bila ada kejadian seperti Fukushima maka muncullah ramai pakar nuklear. Yang benar-benar tahu tentang nuklear biasanya tidak dipercayai sangat kerana mereka berada di pihak yang menyokong nuklear. 'Memanglah dia kata baik, sebab dia bidang itu.'

Jika begitu, siapa yang kita nak percaya? Inilah dilema sebenarnya. Yang mengetahui kurang dipercayai. Yang kurang mengetahui pula, atau tidak mengetahui banyak dipercayai. 'Dia tak ada kepentingan dalam hal itu, jadi dia bolehlah kita percaya.'

Sebenarnya dia itu ada kepentingan juga - iaitu kepentingan untuk kita meninggalkan dan melupakan nuklear. Sedangkan negara-negara lain terang-terangan meraih faedah dan manfaat. Ada yang mengatakan banyak negara merujuk semula perancangan nuklear masing-masing. Jerman menutup kesemua reaktor nuklear untuk kajian keselamatan. Itu perkara biasa kerana setelah setiap kejadian, kita akan teliti, umpama muhasabah diri. Bagaimana pun bagi Jerman tutup reaktor pun ok sahaja sebab talian elektrik Eropah saling berkait. Bekalan dari negara lain boleh diperolehi. Di Jepun, tutup 3-4 reaktor sahaja sudah perlu catuan elektrik dipikirkan.

Kita perlu semak, tapis, dan nilai semua maklumat. Tetapi untuk menyemak, menapis, dan menilai kita perlu mengetahui. Untuk mengetahui kita perlu mempelajari. Harapan blog ini ialah sedemikian itu.

Friday, March 18, 2011

Spekulasi malapetaka

Ada pihak yang membayangkan atau mengharapkan agar kemalangan nuklear di Fukushima menjadi lebih buruk: bahanapi reaktor cair, reaktor meletup, paras sinaran meningkat mendadak, dan bahan radioaktif tersebar luas lalu beredar di udara merebak ke merata tempat untuk sekian lama. Ia dibandingkan sama seperti Chernobyl atau lebih buruk lagi.

Keadaan digambarkan oleh pihak tertentu, iaitu disaster speculators, dengan membuat jangkaan (prediction) bahawa ia tidak lagi dapat dikawal dan akan melarat menjadi suatu senario yang menakutkan.

Logi nuklear di Fukushima ialah yang terbesar. Ia mempunyai 6 buah reaktor nuklear. Sekiranya semua berlaku sama seperti Chernobly, ia adalah seolah-olah kita mengalami 6 Chernobyl. Namun keadaan sebenar tidaklah sebegitu. Walaupun dengan bilangan reaktor yang banyak, kemalangan dapat dibendung dan keadaan masih terkawal.

Kita perlu mempunyai keyakinan bahawa pihak-pihak yang terlibat dalam mengendalikan kejadian tersebut membuat semua usaha terbaik untuk memulihkan keadaan. Bayangkan bahawa tentu ada daripada mereka yang juga mengalami kehilangan ahli keluarga dan rakan-rakan dalam kejadian gempabumi dan tsunami, namun perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha-usaha menyelamat.

Oleh itu eloklah kita timbangtara apa yang kita dengar, baca, atau lihat terlebih dahulu.

Tuesday, March 15, 2011

Kegelisahan nuklear dan hujan asid

Memang kita suka gusar dengan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudharatan. Kita juga tidak mahu kawan-kawan kita, saudara mara, dan kenalan mengalami perkara yang kita juga tidak mahu alami. Maka kita akan menyebarluas berita-berita yang kita terima kepada rakan-rakan dengan niat murni itu.
Kejadian yang berlaku di logi nuklear Fukushima yang dilanda gempa bumi dan tsunami juga menjadi bahan sebaran; dan berita itu tidaklah benar dari segi fakta mahupun dari segi kejadian yang berlaku. Mungkin ada yang menerima pesanan ringkas berikut:

A nuclear power plant in Fukumi, Japan exploded at 4:30 AM today. If it rains 2moro or later, don't go outside, be sure that u have rain protectors. It's acid rain. Don't let it touch u. You may burn your skin, lose ur hair or hv cancer. Please pass, stay safe and remind everyone u know.

Pertama sekali, hujan asid tidak disebabkan oleh logi nuklear. Logi arang batu lebih berpotensi sebagai punca hujan asid kerana kandungan sulfur dalam arang batu yang dibakar.

Kedua, memang bolehlah secara kasarnya dikatakan bahawa logi nuklear itu meletup. Ini kerana Logi merujuk kepada keseluruhan kompleks termasuk bangunan, reaktor nuklear itu sendiri, sistem penjana kuasa, dan sebagainya. Namun dalam kes ini, reaktor nuklear itu sendiri tidak meletup. Yang meletup ialah bangunan reaktor akibat tekanan yang meningkat.

Ketiga, tentulah tempat yang diberi nama Fukumi yang terdapat dalam SMS itu juga tidak wujud, dan ini mungkin disebabkan kesilapan semasa menaip.

Monday, March 14, 2011

Fukushima

Kejadian yang berlaku di logi tenaga nuklear di Fukushima, Jepun, tentunya mendatangkan pelbagai reaksi dan pandangan tentang penggunaan reaktor nuklear bagi menjanakan elektrik. Walaupun boleh bertahan atas gegaran gempabumi, ledakan tsunami menggagalkan sistem bekalan kuasa untuk menyejukkan reaktor. Dua pukulan hebat yang berturutan ini menjadikan keadaan bertambah rumit.

Walaupun sudah ditutup, atau diberhentikan operasi secara otomatik, reaktor nuklear akan terus mengeluarkan haba ekoran tindakbalas yang berlaku sebelumnya. Haba yang disebut sebagai haba susutan (decay heat) ini perlu dipindahkan melalui sistem penyejukan yang terus dialirkan dengan pam dalam litar penyejuk reaktor. Tanpa bekalan kuasa elektrik, pam penyalir tidak dapat berfungsi, dan haba tidak dapat dipindahkan. Inilah punca asal yang membawa kepada turutan peristiwa sehingga kini.... (bersambung)

Sunday, February 27, 2011

Pengenalan

Cuba Google perkataan 'nuclear.' Kita dapat keputusan 112 juta.
Cuba Google perkataan 'nuklear.' Keputusannya hanya 0.758 juta saja, tak sampai sejuta pun.
Tujuan blog ini ialah untuk menambah bilangan itu dengan harapan ia dapat juga menyumbang sebagai rujukan dalam Bahasa Melayu tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan nuklear.