Satu pihak kata ye, satu pihak lagi kata tidak, satu lagi pihak diam saja - ye tidak, tidak pun tidak. Begitulah hal nuklear. Selalunya pihak yang kata tidak lebih lantang, yang setuju diam; yang atas pagar tengok saja. Debat nuklear memang tak habis-habis kerana ada dua pihak yang sama-sama komited, iltizam yang tinggi.
Satu pihak menjadikan penentangan itu sebagai perjuangan dan visi sepanjang hayat. Satu pihak lagi sebaliknya pula.
Sebenarnya kita tak perlu begitu fanatik. Kita sepatutnya memberi pertimbangan waras berasaskan fakta dan mengambilkira semua faktor. Malangnya bila ada kejadian seperti Fukushima maka muncullah ramai pakar nuklear. Yang benar-benar tahu tentang nuklear biasanya tidak dipercayai sangat kerana mereka berada di pihak yang menyokong nuklear. 'Memanglah dia kata baik, sebab dia bidang itu.'
Jika begitu, siapa yang kita nak percaya? Inilah dilema sebenarnya. Yang mengetahui kurang dipercayai. Yang kurang mengetahui pula, atau tidak mengetahui banyak dipercayai. 'Dia tak ada kepentingan dalam hal itu, jadi dia bolehlah kita percaya.'
Sebenarnya dia itu ada kepentingan juga - iaitu kepentingan untuk kita meninggalkan dan melupakan nuklear. Sedangkan negara-negara lain terang-terangan meraih faedah dan manfaat. Ada yang mengatakan banyak negara merujuk semula perancangan nuklear masing-masing. Jerman menutup kesemua reaktor nuklear untuk kajian keselamatan. Itu perkara biasa kerana setelah setiap kejadian, kita akan teliti, umpama muhasabah diri. Bagaimana pun bagi Jerman tutup reaktor pun ok sahaja sebab talian elektrik Eropah saling berkait. Bekalan dari negara lain boleh diperolehi. Di Jepun, tutup 3-4 reaktor sahaja sudah perlu catuan elektrik dipikirkan.
Kita perlu semak, tapis, dan nilai semua maklumat. Tetapi untuk menyemak, menapis, dan menilai kita perlu mengetahui. Untuk mengetahui kita perlu mempelajari. Harapan blog ini ialah sedemikian itu.
No comments:
Post a Comment