Friday, March 18, 2011

Spekulasi malapetaka

Ada pihak yang membayangkan atau mengharapkan agar kemalangan nuklear di Fukushima menjadi lebih buruk: bahanapi reaktor cair, reaktor meletup, paras sinaran meningkat mendadak, dan bahan radioaktif tersebar luas lalu beredar di udara merebak ke merata tempat untuk sekian lama. Ia dibandingkan sama seperti Chernobyl atau lebih buruk lagi.

Keadaan digambarkan oleh pihak tertentu, iaitu disaster speculators, dengan membuat jangkaan (prediction) bahawa ia tidak lagi dapat dikawal dan akan melarat menjadi suatu senario yang menakutkan.

Logi nuklear di Fukushima ialah yang terbesar. Ia mempunyai 6 buah reaktor nuklear. Sekiranya semua berlaku sama seperti Chernobly, ia adalah seolah-olah kita mengalami 6 Chernobyl. Namun keadaan sebenar tidaklah sebegitu. Walaupun dengan bilangan reaktor yang banyak, kemalangan dapat dibendung dan keadaan masih terkawal.

Kita perlu mempunyai keyakinan bahawa pihak-pihak yang terlibat dalam mengendalikan kejadian tersebut membuat semua usaha terbaik untuk memulihkan keadaan. Bayangkan bahawa tentu ada daripada mereka yang juga mengalami kehilangan ahli keluarga dan rakan-rakan dalam kejadian gempabumi dan tsunami, namun perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha-usaha menyelamat.

Oleh itu eloklah kita timbangtara apa yang kita dengar, baca, atau lihat terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment